HPPNS 2026, Tenom, Sabah

Teknoganik Hijau Sdn. Bhd. melalui produk baja bio-organik PowerGRO telah menyertai program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) yang berlangsung di Tenom, Sabah pada 23 hingga 25 Oktober.
Program ini bertujuan menjadi platform untuk menghimpunkan komuniti peladang, penternak, nelayan, agensi kerajaan serta pemain industri pertanian bagi berkongsi maklumat, memperkenalkan teknologi dan produk pertanian, di samping membuka peluang kerjasama dalam sektor agromakanan.
Penyertaan PowerGRO dalam program ini bertujuan memperkenalkan teknologi baja bio-organik berasaskan mikrob bermanfaat kepada komuniti pertanian di Sabah. Selain mempromosikan produk, pasukan PowerGRO turut memberi penerangan dan berkongsi pengetahuan mengenai kepentingan kesihatan tanah, pengurusan nutrien serta peranan mikroorganisma dalam menyokong pertumbuhan tanaman.

Sepanjang tiga hari program, sambutan pengunjung amat menggalakkan, mengambil kira lokasi penganjuran yang berada di kawasan pedalaman Tenom. Kebanyakan pengunjung yang mendapatkan khidmat nasihat dan membeli produk PowerGRO terdiri daripada pekebun kelapa sawit dan pengusaha tanaman buah-buahan.
Antara permasalahan tanaman yang sering dikongsikan oleh pengunjung termasuk pokok sukar mengeluarkan buah, bunga tidak melekat, pengeluaran bunga jantan yang tinggi serta masalah penyakit tanaman. Melalui sesi penerangan, pasukan PowerGRO menekankan kepentingan pemulihan dan penjagaan kesihatan tanah sebagai salah satu asas penting dalam menyokong pertumbuhan tanaman yang lebih sihat dan produktif.
Penyertaan dalam HPPNS ini bukan sahaja memberi peluang kepada PowerGRO untuk memperluaskan produk ke pasaran Sabah, malah membuka ruang untuk memahami keperluan sebenar pengusaha pertanian tempatan serta membina jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Teknoganik Hijau akan terus komited dalam memperkenalkan penyelesaian pertanian berasaskan teknologi mikrob bagi menyokong kesuburan tanah dan pertumbuhan tanaman yang lebih baik.