Seramai 4 orang pelajar telah menjalani latihan industri di syarikat Teknoganik Hijau selama tempoh satu bulan. Sepanjang penempatan tersebut, para pelajar telah ditempatkan di bahagian Production dan R&D (Research and Development), serta diberi pendedahan kepada pelbagai tugasan yang berkaitan dengan operasi syarikat.

Dalam bahagian production dan shipping, para pelajar telah membantu pasukan pengeluaran dalam proses pembungkusan baja organik mikrob PowerGRO. Aktiviti ini memberikan pendedahan awal tentang prosedur pengendalian produk, kawalan kualiti, serta persediaan logistik sebelum dihantar kepada pelanggan. Selain itu, para pelajar turut didedahkan dengan proses pengurusan stok dan penyediaan produk untuk penghantaran.

Di samping itu, para pelajar turut diberi peluang membantu pasukan kebun di kawasan tanaman milik Teknoganik Hijau. Antara tugasan utama adalah membantu kerja-kerja menuai (harvest), membersihkan kawasan kebun, serta menyokong pengurusan ladang bagi memastikan kelancaran projek yang dijalankan. Tugasan ini bukan sahaja memberi pengalaman praktikal dalam bidang pertanian, tetapi juga meningkatkan kefahaman pelajar terhadap aplikasi baja PowerGRO di lapangan sebenar.

Bagi bahagian R&D, pelajar telah terlibat dalam kerja-kerja penyediaan dan penjagaan kawasan kajian lapangan yang terletak bersebelahan dengan HQ PowerGRO. Melalui aktiviti ini, mereka dapat mempelajari bagaimana kajian lapangan dijalankan, cara memantau pertumbuhan tanaman, serta kepentingan merekod data secara sistematik.

Selain tugasan teknikal, para pelajar juga terlibat dalam aktiviti kreatif iaitu membantu pasukan syarikat menghasilkan kandungan (content shooting) untuk tujuan promosi dan dokumentasi. Pendedahan ini memberi mereka pengalaman dalam aspek pemasaran dan komunikasi, yang merupakan elemen penting dalam memperkenalkan produk pertanian moden kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, latihan industri ini telah memberi peluang kepada para pelajar untuk memperoleh pengalaman menyeluruh dalam bidang pertanian organik moden, bermula daripada aspek pengeluaran, penyelidikan, pengurusan ladang, sehingga kepada pemasaran produk. Penempatan ini bukan sahaja menambah pengetahuan dan kemahiran praktikal mereka, malah turut meningkatkan keyakinan untuk terlibat secara langsung dalam industri pertanian pada masa hadapan.