
ShowTech MARDI 2025
MAEPS Serdang, 29 Mei – 2 Jun 2025 — Bertemakan “Teknologi Pintar, Pertanian Lestari”, Showtech MARDI 2025 sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai platform utama yang menghimpunkan para penggiat industri, penyelidik, pengusaha, dan inovator teknologi pertanian.
Selama lima hari penganjuran, MAEPS Serdang menjadi medan pertemuan bagi pelbagai pihak berkepentingan yang bersama-sama mempamerkan solusi pintar dalam bidang agroteknologi, bioteknologi, pengurusan ladang, teknologi makanan dan automasi pertanian hasil keluaran pihak MARDI. Lebih daripada 200 pempamer mengambil bahagian yang mana majoritinya merupakan wakil dari pihak MARDI yang memperkenalkan teknologi hijau, sensor digital, dron, dan sistem baja terkini. Acara ini turut diserikan dengan pelancaran beberapa inovasi baru MARDI, pembentangan kertas teknikal, sesi panel pakar, dan lawatan tapak percubaan teknologi.

Tambahan pula, PowerGRO telah melebarkan lagi sayapnya dengan turut melibatkan diri dalam acara Showtech MARDI 2025 ini. PowerGRO telah berjaya menunjukkan potensi besar melibatkan baja berasaskan mikrob dalam menjana hasil pertanian yang lebih mampan dan berdaya tahan. Sambutan yang diterima bukan sahaja dalam bentuk maklum balas positif, malah berjaya diterjemahkan kepada pencapaian jualan yang sangat memberangsangkan sepanjang lima hari pameran berlangsung. Produk PowerGRO bukan sahaja mencetuskan minat pengguna tempatan, malah beberapa pihak luar termasuk pengedar dan koperasi pertanian turut menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama jangka panjang. Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan PowerGRO sebagai pengeluar baja organik berasaskan mikrob dalam bidang pertanian yang mana sejajar ke arah pertanian mampan.
Tidak ketinggalan, para pelajar, usahawan muda dan petani moden turut hadir bagi mendapatkan ilmu serta membina rangkaian kerjasama baharu. Penganjuran Showtech MARDI 2025 bukan sahaja membuka ruang untuk penerokaan teknologi baharu, tetapi juga memperkukuh agenda negara dalam menjadikan pertanian lebih mampan, cekap dan berdaya saing. Dengan sokongan semua pihak, Showtech MARDI 2025 menjadi simbol usaha berterusan Malaysia dalam memacu transformasi sektor agro-makanan ke arah yang lebih digital, lestari dan berimpak tinggi.